Pinjaman

Tiada 'Pinjaman Secara Islam' di Bank Islam

Bank Islam Peniaga Bukan Pemberi Pinjam
Ramai yang terkeliru apabila menyebut 'pinjaman secara Islam' apabila merujuk kepada produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam. Hakikatnya, mereka semua silap, kerana produk bank Islam yang berasaskan pinjaman hampir tiada. Ini adalah kerana sesebuah 'pinjaman' Islam tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai medium untuk meraih sebarang keuntungan. Pinjaman tidak lain hanya satu jenis kontrak belas ihsan, untuk menolong mereka yang susah secara percuma sahaja. Hasil dari itu, Allah swt menjanjikan mereka yang memberikan pinjaman tanpa sebarang caj dengan gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda.

Terlalu sedikit  produk bank-bank Islam yang didasari oleh aqad pinjaman, contoh seperti kad Caj oleh Ar-Rajhi Bank dan beberapa lain, yang lain semuanya bukan atas aqad pinjaman. Hasil dari itu, bank-bank Islam berusaha mencari pelbagai konsep lain yang lebih sesuai. Ternyata keuntungan secara halal boleh diperolehi tiga kaedah iaitu:-



1)       melalui aqad jual beli, termasuk sewaan

2)       melibatkan diri dalam sistem perkongsian pelaburan dari jenis Mudharabah atau Musharakah.

3)       Melalui konsep ujrah atau upah hasil sesuatu perkhidmatan yang diberi.

Namun begitu, menurut kebiasaanya ketiga-tiga konsep ini digunapakai oleh individu atau syarikat-syarikat persendirian atau biasa bagi memperolehi untung. Ia ternyata amat sesuai dan tepat untuk digunakan oleh industri tersebut.

Oleh kerana sifat dan fungsi sebuah bank berbeza dengan sebuah syarikat jualan biasa, sambil menyedari ketiga-tiga konsep sahaja yang ada bagi membolehkan sesebuah bank untuk memperolehi keuntungan, pihak bank cuba mengadaptasikan konsep-konsep tersebut bagi menyesuaikannya dengan sifat sebuah bank di zaman moden ini. Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, itu adalah dalam konteks sebuah bank riba, maka fungsi itu terpaksa ditukar kepada bank Islam sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai 'trader', iaitu penjual dan pembeli.

Untuk mengubah sifat asal fungsi sebuah bank dari pemberi pinjam kepada pembiaya dan penjual serta pembeli, bank-bank Islam banyak menghadapi cabaran undang-undang setempat. Adakalanya halangan undang-undang setempat boleh menjadikan sebuah bank Islam gagal untuk berfungsi secara seratus peratus menepati Shariah. Bukan kerana mereka sengaja untuk ingkar dan culas, tetapi terpaksa tunduk dek undang-undang setempat yang enggan diubah oleh pembuat undang-undang. Usaha mendesak masih berterusan tetapi tentunya tidak wajar diletakkan ancaman dan kecaman kepada bank-bank Islam. Jika ingin mengecam, pastinya anda faham siapa yang patut ditujukan kecaman.

CARA BANK ISLAM

Dalam tulisan ini, saya akan cuba mendedahkan dengan ringkas salah satu cara yang cuba digunapakai oleh sebuah bank Islam bagi menjalankan fungsinya sebagai pembiaya dan juga trader.

Caranya adalah dengan memperkenalkan konsep jualan secara Murabahah. Bagi mengadun kontrak Murabahah  agar ia dapat disesuaikan dengan peranan asas sebuah bank iaitu sebagai pembiaya, financier atau orang tengah (intermediaries) yang pada hakikatnya tetapi ingin bertransaksi seperti syarikat peniaga (trader), beberapa jenis pengadunan kontrak Murabahah  telah dibuat bagi tujuan itu. Ia seperti berikut :-


  • ·         Produk pembiyaan aset atau modal (Financing): Murabahah  antara tiga pihak (Tri-partied Murabahah )
  • ·         Produk Perbendaharaan (treasury) : Komoditi Murabahah
  • ·         Produk pasaran modal (capital market) : Terbitan Sukuk Murabahah


Demikian tadi tiga contoh produk utama yang menggunakan konsep Murabahah  dalam tiga sektor utama perbankan. Namun dalam tulisan ini, saya hanya akan menyebut satu sahaja dari tiga produk tadi.

MURABAHAH DENGAN PIHAK YANG PINTA BELI (MURABAHAH LIL AMIR BISHIRA)

Murabahah  Lil Amir Bishira didefinisikan sebagai jualan Murabahah bagi individu yang berjanji untuk membeli atau Murabahah to the purchase orderer, ia adalah satu bentuk permintaan satu pihak (pelanggan) kepada satu pihak lain yang mempunyai wang (biasanya bank) untuk membeli satu satu aset yang diingi pelanggan dengan pihak pelanggan berjanji akan membelinya dari pihak yang pembeli awal (bank) dengan harga yang lebih tinggi dari pembelian pertama. (Al-Murabahah kama Tujrihi Al-masarif Al-Islamiah, Al-Qaradhawi)

Produk ini mempunyai bentuk idealnya dan mempunyai bentuk praktikal yang diamalkan oleh beberapa buah bank Islam di Malaysia. Kebiasaannya konsep ini digunakan untuk produk-produk runcit di bank-bank Islam (retail banking products).

Produk yang menggunakan asas Murabahah  biasanya boleh digunakan untuk pembiayaan aset seperti :


  • ·           kereta, rumah, kapalterbang, kapal
  • ·           alatan mesin untuk kegunaan kilang,
  • ·           bangunan
  • ·           tanah
  • ·           hak cipta
  • ·           hak pemilikan saham


dan lain-lain aset yang bersifat tangible dan intangible.

HUKUM

Majoriti ulama mengharuskan pembelian secara dalam bentuk ini dengan beberapa syarat yang mesti dijaga. Selain syarat-syarat Murabahah yang biasa, kontrak Murabahah antara tiga pihak ini punyai beberapa syarat tambahan, tanpanya jual beli ini dikira batal dan haram.

Keharusan jual beli ini telah lama disebut, khususnya oleh Imam As-Syafie :-

إذا أَرى الرجلُ الرجلَ سلعة، فقال: اشتر هذه وأربحك فيها كذا، فاشتراها الرجل، فالشراء جائز, والذي قال أربحك فيها بالخيار , إن شاء أحدث فيها بيعا وإن شاء تركه



Ertinya : Apabila seorang lelaki menunjukkan kepada seorang yang lain satu barang lalu berkata : Engkau belilah ia, dan aku akan beli dari kamu dengan tambahan beberapa jumlah untung buatmu, maka lelaki (pertama) itu membelinya, jual beli ini adalah harus, manakala lelaki yang berkata akau akan membeli darimu dengan untung( yang berjanji), adalah terbuka kepada pilihan, sama ada untuk membelinya atau menolaknya . (Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, 3/33)

Proses jual beli sebegini juga turut difatwakan oleh majoriti ulama semasa sebagai harus, termasuk majlis Syariah Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) [1], Fatwa muktamar Perbankan Islam kedua di Kuwait tahun 1983 dan juga Akademi Fiqh OIC dalam sidang mereka yang kelima pada tahun 1988.

Antara syarat bagi menjadikannya halal sebagaimana yang dijelaskan secara ringkas dalam resolusi akademi Fiqh OIC adalah ( rujuk Qararat wa tawsiat, Akademi Fiqh OIC, Dar al-Qalam):-

أولاً : أن بيع المرابحة للآمر بالشراء إذا وقع على سلعة بعد دخولها في ملك المأمور ، وحصول القبض المطلوب شرعاً ، هو بيع جائز ، طالما كانت تقع على المأمور مسؤولية التلف قبل التسليم ، وتبعة الرد بالعيب الخفي ونحوه من موجبات الرد بعد التسليم ، وتوافرت شروط البيع وانتفت موانعه .
ثانياً : الوعد - وهو الذي يصدر من الآمر أو المأمور على وجه الانفراد - يكون ملزماً للواعد ديانة إلا لعذر
ثالثا : المواعدة - وهي التي تصدر من الطرفين - تجوز في بيع المرابحة بشرط الخيار للمتواعدين ، كليهما أو أحدهما ، فإذا لم يكن هناك خيار فإنها لا تجوز ، لأن المواعدة الملزمة في بيع المرابحة تشبه البيع نفسه ، حيث يشترط عندئذ أن يكون البائع مالكاً للمبيع حتى لا تكون هناك مخالفة لنهي النبي عن بيع الإنسان ما ليس عنده
Ertinya :
Pertama : Jualan ini apabila berlaku ke atas satu asset, diwajibkan pihak pembeli (bank) untuk memiliknya dengan pemilikan sah menurut hukum syara, maka tatakala itu ia jualbeli yang sah. Iaitu selagi mana pihak yang diminta (biasanya bank) menanggung tanggungjawab dan risiko jika aset rosak sebelum dijual (serahan) kepada pelanggan, dan juga bertanggung jawab untuk menerimanya jika dipulangkan kerana terdapat ‘aib yang tersembunyi pada asset dan sebab-sebab yang mewajibkan pengembalian semula setelah diserah kepada pembeli.

Kedua : Janji : iaitu yang diberikan oleh peminta (pelanggan) kepada yang diminta ( bank), janji ini bersifat mengikat (mulzim) ke atas yang member janji dari sudut agama kecuali jika terdapat keuzuran sebenar

Ketiga : Kedua pihak saling berjanji : Iaitu janji yang diberikan oleh kedau-dua belah pihak (pihak peminta janji akan beli dan yang diminta janji akan jual), ia adalah harus dengan syarat kedua pihak bebas dan boleh memilih (sama ada untuk meneruskan atau membatalkan), jika kedua belah pihak terikat dan tidak boleh membatalkan janji mereka, tatkala itu janji kedua belah pihak menjadi tidak harus (kontrak batal dan haram), kerana saling berjanji untuk membeli dan menjual adalah sama seperti kontrak jual beli, yang ketika itu memerlukan penjual telah memiliki aset, agar mereka tidak jatuh ke dalam larangan menjual sesuatu sebelum memilikinya.
Kesimpulannya, jual beli secara murabahah ini boleh dan halal dilaksanakan oleh bank-bank Islam dengan syarat-syarat khusus yang disebutkan di dalam resolusi fatwa di atas ringkasannya :-

Bank mestilah telah membeli aset dan memilikinya sebelum dijual kepada pelanggan.
Aset yang dijual oleh bank mestilah berada dalam jaminan pihak bank selaku penjual sekiranya terdapat kerosakan dan aib tersembunyi, justeru pihak pelanggan boleh memulangkannya kepada bank jika terdapat rosak.
Janji dari satu pihak adalah bersifat mengikat.
Janji dari dua pihak tidak boleh bersifat mengikat, kerana ia akan jatuh dalam jualan hutang dengan hutang dan jualan aset yang belum dimiliki.


Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

12 Mei 2009

Menurut Perspektif ISLAM apa itu Konsep Hutang Atau Al Qard

Di mana-mana kini, baik di Malaysia mahupun di negara luar, banyak sangat hutang piutang berlaku dalam konteks urusniaga atau perbankan atau sesama individu, yang menyebabkan permasalahan timbul semasa menjelaskan hutang. Kebiasaannya pihak pemberi hutang yang akan menanggung kerugian kerana tidak mendapat semula wang yang diberikan kepada orang yang berhutang atau si berhutang. Bagaimanakah konsep hutang piutang ini menurut perspektif Islam?

Dalam Islam berhutang memang diharuskan. Islam memberi galakan kepada umatnya, agar memberi bantuan kepada saudara-saudaranya, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Hutang yang dibenarkan dalam Islam hanyalah hutang Al Qard dengan maksud pinjaman. Ia juga dikenali dengan nama Al Qardhul Hasan atau Al Qardn Hassan atau pinjaman kebajikan (benevolent loan) di mana hutang atau pinjaman diberikan kepada orang yang sangat memerlukan bantuan, tanpa melibatkan bayaran lebih semasa bayaran balik hutang tersebut. Misalnya, jika diberi pinjaman RM1000 dan tempoh bayaran balik selepas 2 bulan, maka siberhutang mesti membayar semula hutang beliau pada tempoh yang dijanjikan dan dengan jumlah yang sama RM1000. Jika orang yang berhutang hendak memberikan lebihan saguhati kepada pemberi pinjaman, ini adalah dibenarkan dalam Islam tetapi tidak boleh dijadikan syarat dalam pinjaman itu.

Orang yang memberikan hutang tidak boleh mengenakan bayaran tambahan ke atas hutang itu, kerana jumlah tambahan ke atas hutang itu dikenali sebagai RIBA yang amat dilarang dalam Islam. Apa sahaja nama yang digunapakai seperti bunga, faedah, premium dan sebagainya, adalah termasuk dalam kategori riba selagi mana ianya menepati definisi riba yang dimaksudkan. Secara ringkas, salah satu riba hutang piutang ialah riba annasiah atau juga dipanggil riba al qard. Ini merujuk kepada hutang yang disyaratkan dengan faedah atau manfaat kepada pihak yang memberikan pinjaman. Ini merupakan satu bentuk penindasan kepada orang yang sedang dalam kesusahan kerana memerlukan bantuan kewangan.

Dalil tentang cara mengurus hutang ini seperti menulis jumlah hutang, tempoh hutang dan mengadakan saksi, telah digariskan dengan jelas oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firmanNya, dalam surah Al Baqarah, ayat 282.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke satu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (HUTANG DAN MASA BAYARANNYA) itu. Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dian mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan hendaklah kamu mengadakan DUA orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian, kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali, perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Mungkin tidak timbul masalah untuk menulis hutang kerana prosedur yang jelas dengan persetujuan kedua-dua pihak yang berhutang dan yang memberi hutang. Telah termaktub dalam perjanjian hutang tersebut bahawa adalah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya pada tempoh masa yang ditetapkan. Contoh terbaik bagi menjelaskan hutang adalah seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w. sendiri ketika berhutang. Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata Rasulullah s.a.w pernah berhutang seekor unta kemudian Baginda membayarnya dengan yang lebih baik dan bersabda, maksudnya: “ Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” Hadis riwayat Imam Muslim. Rujuk Sahih Muslim Jil. III, Sunan al Tirmidhi Jil. II, Misykat al Masabih Jil, III.

Walaupun begitu, banyak kedengaran isu dan kenyataan di akhbar mengenai permasalahah semasa menjelaskan hutang termasuklah hutang kad kredit, hutang rumah, hutang kereta dan lain-lain lagi. Satu persoalan timbul dalam masyarakat kita ialah bagaimana menangani masalah orang yang susah atau sengaja melambatkan bayaran hutang atau lari dari hutang atau mengalami kerugian yang menyebabkan mereka tidak mampu membayarnya. Mungkin pelbagai tindakan seperti perbincangan, penambahan masa bayaran dan tindakan mahkamah atau perundangan boleh diambil oleh pihak pemberi pinjaman kepada mereka yang gagal menjelaskan hutang ini. Berbagai-bagai alasan akan diberikan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran hutang tersebut. Sesungguhnya melambat-lambatkan bayaran hutang, amatlah besar sekali akibatnya dalam kehidupan manusia, bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat. Antaranya:


1. Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
2. Hidup mereka tidak mendapat keredhaan Allah.
3. Mereka digolongkan dalam perbuatan zalim.
4. Amalan kebajikan mereka tidak diberkati.

Mari kita lihat pendekatan Islam melalui hadis Rasulullah s.a.w yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a, di mana ianya menceritakan tentang kebaikan memberikan kelonggaran bagi menjelaskan hutang.

Rasulullah s.a.w bersabda; “Barang siapa yang memberikan kelonggaran waktu pada hutangnya orang fakir dan miskin atau membebaskannya, maka Allah memberikan kepadanya naungan di hari Kiamat di bawah naungan arasyNya, ketika tidak ada naungan kecuali naunganNya .” Hadis riwayat Imam Al Tirmidhi. Rujuk Sunan al Tirmidhi Jil. II.

Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah s.a.w mengecam orang-orang yang menangguhkan bayaran hutangnya sedangkan mereka itu kaya atau berkemampuan untuk menjelaskan hutang mereka. Tindakan melewatkan bayaran hutang ini seolah-olah menafikan hak orang yang memberikan pinjaman, kerana mungkin mereka memerlukan pula wang tersebut untuk tujuan kemaslahatan yang lain.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda: “ Menunda-nunda orang kaya untuk membayar hutang (memberi hak kepada orang lain) adalah zalim…” . Hadis riwayat Imam al- Tirmidhi, Rujuk Sunan al Tirmidhi Jil. II.

Sabda Rasulullah s.a.w bersabda: Penangguhan (hutang) oleh orang yang berkuasa membayar, adalah satu kezaliman, halallah maruahnya dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atasnya dan maruahnya). Riwayat Ibnu Majah.

Terdapat juga pendapat al Salaf Al Salih yang menggalakkan segera dibayar hutang ini, iaitu dari Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Abu Qilabah bahawa Abu al-Darda r.a. berkata: “Kebajikan tidak pernah punah, dosa tidak akan dilalaikan dan orang yang berhutang sukar melelapkan mata. Jadilah dirimu seperti yang engkau kehendaki. Seberapa banyak engkau berhutang, maka sebanyak itu pula engkau harus mengembalikannya.” Kitab al-Zuhd.

Dalam konteks risiko perniagaan, jika seorang peniaga mengalami kerugian dan masih menanggung hutang yang banyak, maka dianjurkanlah orang ramai memberi sedekah kepada peniaga itu dengan niat untuk membantu menjelaskan hutang orang tersebut. Amalan sedekah ini boleh menyucikan harta seperti Firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 103, “Ambillah sedekah dari sebahagian harta mereka, dengan sedekah itu , kamu membersihkan dan mensucikan mereka.”

Anjuran bersedekah bagi membantu orang yang terdesak dalam berhutang, juga dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Dari Abu Sa’id al Khudri r.a., yang maksudnya:

Pada masa Rasulullah s.a.w, ada seorang laki-laki ditimpa musibah dalam buah-buahan yang dia perdagangkan, lalu dia mempunyai banyak hutang. Bersabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: “Bersedekahlah kamu sekalian kepadanya” Maka orang-orang pun bersedekah kepadanya, akan tetapi (yang dia terima) itu tidak mencukupi bagi menjelaskan hutangnya.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang-orang yang memberi hutang kepadanya, “Ambillah apa yang dapat kamu ambil dan kamu tidak dapat mengambil kecuali itu (yakni hasil pengumpulan sedekah tadi)”. Hadis riwayat Imam al Tirmidhi, Sunan al Tirmidhi Jil.I.

Oleh yang demikian, Islam menganjurkan antara perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ini, selain dari jenazah hendaklah segera dikebumikan, dan anak perempuan yang dipinang orang hendaklah segera dikahwinkan, maka hutang-piutang hendaklah segera dibayar atau dilangsaikan, untuk mengelakkan terabai membayarnya. Islam sangat mengambil berat mengenai pembayaran hutang, kerana pelunasan hutang adalah merupakan satu syarat untuk mendapat keredhaan Allah. Seseorang yang berhutang, hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut, kerana Allah akan memudahkan baginya bila dia hendak menunaikannya.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda; “Dan barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya di hari kiamat: " Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku?, maka diambillah amal kebaikan orang itu, dan diberikan pada orang yang memberi hutang, dan jika tidak mempunyai amal kebaikan, maka dosa-dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan pada orang-orang yang berhutang.”

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia, kerana apabila dia sudah mati dan dia masih lagi menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang tersebut. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w:

”Jiwa orang-orang mukmin tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum kepadanya selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”.

Abu Said r.a berkata: "Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w jenazah untuk disembahyangkan, lalu Nabi bertanya: Apakah mayat ini masih menanggung hutang?, Sahabat menjawab: Ya, Nabi bertanya: Apakah ia ada meninggalkan harta untuk membayarnya?, jawab Sahabat: Tidak. Nabi bersabda : "Sembahyanglah kamu kepada kawanmu itu", Nabi sendiri tidak ikut menyembahyangkannya. Kemudian Ali bin Talib berkata: "Biarlah saya yang membayar hutangnya". Sesudah itu, Nabi segera maju menyembahyangkannya, lalu ia berkata kepada Ali, Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) dari api neraka, sebagaimana kamu membebaskan tanggungan saudara yang muslim itu. Tidaklah seorang muslim yang membayar hutang saudaranya, melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) dari api neraka pada hari kiamat kelak.”

Sebagai kesimpulannya, janganlah menangguhkan bayaran jika kita berhutang, dan apabila mempunyai peluang untuk membayarnya. Perbuatan sengaja mengelakkan bayaran hutang, adalah tergolong dalam perbuatan orang yang zalim dan dia berhak mendapat pembalasan terhadap perbuatannya. Oleh itu, sangat-sangatlah dianjurkan orang yang berhutang untuk menjelaskan hutang dengan segera, tanpa perlu menunggu pemberi pinjaman tadi memberikan peringatan atau mengulang-ulang bertanyakan mengenai pelunasan hutang tersebut. Bersegeralah kita menunaikan janji untuk membayar hutang, jika ada; kerana sangat besarlah ganjarannyan kepada mereka yang menunaikan janji ketika berhutang ini, seperti Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 177: “…. orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan…., Mereka itulah orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”

sumber : wanita.ikram.org.my

Sistem Pinjaman & Hutang Menurut Islam

Sistem Hutang & Pinjaman Menurut Islam

1- Islam membenarkan meminjam dan berhutang.

2- Semua pinjaman dan hutang hendaklah dibayar balik.

3- Walau bagaimanapun, meminjamkan wang dalam Islam adalah atas tujuan menolong, dan bukan untuk keuntungan.

4- Sebarang keuntungan dalam pemberian hutang atau pinjaman adalah dinamakan riba.

5- Islam membenarkan seseorang memberi pinjam wang, tetapi tidak membenarkan dia menuntut melebihi wang yang dipinjamkan.

6- Sebarang pertambahan jumlah yang perlu dibayar melebihi nilai hutang adalah dinamakan riba.

7- Dalam sistem moden, riba ini diberikan nama lain seperti kos operasi, pelarasan pinjaman, kos perkhidmatan, upah, bunga, interest dan sebagainya.

8- Penamaan seperti ini sebenarnya adalah cubaan untuk menghalalkan riba yang jelas diharamkan oleh Allah.

9- Rasulu Llah melaknat pemakan riba, pemberi makannya, penulisnya dan dua saksinya, dan dia berkata: «Mereka adalah sama» [Muslim/ 1598]
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم آكل الربا ومؤكله وكاتبه وشاهديه وقال: هم سواء

10- Dalam Islam, hutang adalah dibenarkan untuk menampung keperluan asas apabila tiada pilihan lain.

11- Hutang bukanlah jalan untuk bermewah-mewah atau memenuhi kehendak nafsu.

12- Justeru, sebenarnya hutang adalah jalan terakhir untuk meneruskan kehidupan.

13- Dewasa ini, ramai yang berhutang tanpa sebab.

14- Contoh hutang yang dicela seperti ini ialah seperti berikut:

a. Membuat pinjaman peribadi untuk perkahwinan.
ULASAN: Islam menyuruh berkahwin mengikut kemampuan. Kemampuan bermakna tanpa hutang.

b. Membuat pinjaman untuk melabur.
ULASAN: Benar, melabur akan memberikan lebih banyak keuntungan pada masa depan melaluï dividen atau bonus. Namun, membuat pinjaman bank tanpa sebab menyebabkan anda termasuk dalam golongan pemberi riba!

c. Membuat pinjaman untuk membesarkan rumah.
ULASAN: Ini cara paling cepat untuk membesarkan rumah, dengan membayar secara beransur-ansur kepada pihak bank.

d. Contoh-contoh lain yang kena tepat ke atas batang hidung kita, sedangkan kita tidak mengakuïnya.

15- Dalam zaman moden ini, pinjaman yang paling mudah adalah melaluï bank, kerana prosesnya mudah dan jumlah yang boleh dipinjam adalah lebih tinggi.

16- Namun, ramai yang terlepas pandang bahawa sebenarnya pinjaman melaluï bank ini adalah riba, kerana nilai yang perlu dibayar adalah lebih tinggi daripada jumlah pinjaman.

17- Sesetengah pihak mempermainkan agama dengan mengubah `aqad pinjaman kepada nama lain seperti pembiayaan atau sewaan komoditi.

18- Hal ini berlaku apabila peminjam meminta untuk meminjam wang, tetapi pemberi pinjam mengatakan bahawa bank membeli satu komoditi (atau barangan) dan peminta pinjam dikehendaki membeli komoditi itu daripada bank dengan harga yang lebih tinggi.

19- Di dalam `aqad atau di atas kertas, ia nampak seperti suatu urusniaga jual-beli barang iaitu bank membeli satu barang dan peminta pinjam membeli barang itu daripada bank.

20- Walau bagaimanapun, ini adalah satu percubaan untuk menghalalkan apa yang Allah haramkan di dalam Al-Qur’an.

21- Peminta pinjam datang untuk meminjam wang dan bukan untuk membeli komoditi tersebut.

22- Justeru, ini adalah cara yang tercela dalam pemberian pinjaman, kerana ia menipu peminta pinjam dalam `aqad dan perjanjian, semata-mata untuk meningkatkan jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh peminjam.

23- Sistem ini seharusnya dibasmi dengan mengelakkan diri daripada membuat pinjaman yang tidak perlu.

24- Pihak berkuasa agama sebenarnya boleh memainkan peranan dengan menggunakan wang Baytu l-Mal sebagai pinjaman kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

25- Pinjaman tersebut hendaklah dalam konteks yang dibenarkan oleh syara`, dan bukan untuk tujuan bermewah-mewah, membazir atau sebagainya.

26- Bagi mereka yang sudah terlibat, maka ketahuïlah bahawa riba diharamkan oleh Al-Qur’an, dan Rasulu Llah melaknat 4 golongan bersabit riba: pemakan, pemberi, penulis perjanjian dan saksi.

27- Marilah kita sama-sama menyedari dosa riba ini, dan meminta ampun kepada Allah, semoga dia melepaskan kita daripada hutang dan riba ini, amin.

28- Kepada mereka yang sengaja cuba menghalalkan riba dengan permainan bahasa dan `aqad, dengan mengubah nama dan istilah, maka ingatlah kata-kata hadis «Man sanna».

WaLlahu a`lam.

sumber :  ad-diyari.com

Soalan tentang Pinjaman Perumahan

♠ Posted by Loan Planner in ,,,


Berapakah harga rumah yang saya mampu?

Ini bergantung kepada pendapatan dan jumlah komitmen kewangan lain anda. Mengikut amalan biasa, kebanyakan pembeli rumah membeli rumah berharga di antara 1.5 dan 2.5 kali pendapatan tahunan mereka. Sebagai contoh, jika seorang pembeli memperolehi pendapatan RM40,000 setahun, dia mungkin akan membeli rumah berharga RM60,000 hingga RM100,000. Di samping itu, bayaran ansuran bulanan tidak seharusnya melebihi 1/3 daripada pendapatan kasar bulanan anda. Dalam menilai keupayaan anda membuat pembayaran balik, institusi kewangan juga akan mengambil kira pembayaran balik hutang anda yang lain seperti pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan kad kredit.


Berapa banyakkah yang boleh saya pinjam?

Ini bergantung kepada nilai rumah anda, pendapatan anda dan keupayaan anda untuk membayar balik. Margin pembiayaan boleh menjangkau sehingga 95% (termasuk MRTA). Semakin tinggi margin pembiayaan, semakin tinggilah ansuran yang perlu anda bayar. Di samping itu, pada kadar faedah yang tertentu, tempoh pinjaman yang lebih pendek memerlukan anda membayar ansuran yang tinggi.


Berapa lamakah pinjaman diproses?

Biasanya masa yang diambil ialah di antara satu hingga dua minggu untuk pinjaman anda diluluskan bermula dari masa dokumen lengkap dikemukakan. Anda hendaklah mendapatkan senarai semak dokumen perlu untuk mengelakkan sebarang kelewatan.

Apakah perbezaan di antara pembiayaan konvensional dan pembiayaan secara Islam?

Dalam pembiayaan konvensional, pinjaman belum jelas anda terdiri daripada jumlah pinjaman pokok dan faedah yang dikenakan. Kadar faedah ini adalah sebenarnya kos yang ditanggung oleh institusi kewangan untuk mendapatkan dana. Pembiayaan secara Islam mengamalkan konsep menjual dan membeli di mana institusi kewangan membeli rumah tersebut dan kemudiannya menjual semula kepada anda pada harga yang melebihi harga belian.

Kenapakah penilaian ke atas rumah diperlukan?

Penilaian diperlukan jika anda membeli rumah yang telah siap. Institusi kewangan menghendaki penilaian dibuat untuk menentukan sama ada harta berkenaan menyediakan nilai cagaran yang mencukupi untuk pinjaman yang diberi. Ia juga menyediakan anggaran sama ada harta yang anda beli adalah berpatutan dengan apa yang anda bayar.

Perlukah saya melantik seorang peguam? Bolehkah saya memilih peguam saya sendiri?

Ya. Anda perlu melantik seorang peguam untuk menyiapkan dokumentasi pinjaman anda. Biasanya, institusi kewangan akan mengajukan senarai panel peguam yang sudah biasa dengan segala keperluan dokumentasi mereka untuk anda membuat pilihan. Jika anda ingin memilih peguam anda sendiri, anda perlu berbincang dengan institusi kewangan berkenaan.

Siapakah yang membayar yuran guaman?

Pada amnya, yuran guaman akan dibayar oleh pembeli. Walau bagaimanapun, ada pemaju dan institusi kewangan yang menawarkan yuran guaman percuma sebagai sebahagian dari pakej pemasaran mereka. Di samping itu, ada juga institusi kewangan yang menawarkan pembiayaan bagi yuran dokumentasi.

Apakah akan terjadi sekiranya saya menghadapi masalah kewangan dan gagal membayar balik pinjaman?

Sekiranya ini berlaku, anda perlu menghubungi institusi kewangan anda untuk berbincang dan merumuskan skim pembayaran balik yang sesuai, termasuk langkah memanjangkan tempoh pinjaman anda.

Bolehkah saya membayar balik keseluruhan pinjaman lebih awal dari tempoh yang telah dipersetujui?

Biasanya, institusi kewangan akan mengenakan penalti bagi penyelesaian awal. Penalti yang dikenakan adalah di antara 2% - 5% daripada jumlah baki pinjaman belum jelas, bergantung kepada institusi kewangan. Ini juga bergantung kepada jenis produk yang anda pilih dan bila anda mengambil keputusan untuk menebus pinjaman anda. Sila ambil maklum bahawa terdapat keperluan tempoh minimum yang perlu anda patuhi sebelum penyelesaian penuh boleh dibuat.

Bolehkah pengecualian penalti diberi untuk pembayaran terdahulu?

Sebarang pengecualian adalah berdasarkan budi bicara pihak institusi kewangan semata-mata.

Mengapakah baki pinjaman belum jelas saya masih tinggi di peringkat awal tempoh pinjaman walaupun pembayaran ansuran telah dibuat?

Pada tahun-tahun awal pinjaman, sebahagian besar ansuran disalurkan untuk pembayaran faedah pinjaman. Jadi, jika anda membayar sebahagian daripada pinjaman lebih awal dari jadualnya untuk mengurangkan jumlah pinjaman pokok, beban faedah dapat dikurangkan dengan banyaknya dan ini memendekkan tempoh pinjaman anda.

Bolehkah saya membayar ansuran melebihi jumlah ansuran bulanan?

Ini bergantung kepada terma dan syarat-syarat seperti yang dinyatakan dalam perjanjian pinjaman anda. Dengan membayar lebih setiap bulan, anda boleh mempercepatkan proses membayar balik pinjaman. Bila anda membuat bayaran lebih, pastikan bayaran itu digunakan untuk mengurangkan pinjaman pokok. Walau bagaimanapun, jika anda membayar balik pinjaman sepenuhnya dengan sekali gus atau membayar balik sebahagian sahaja daripada pinjaman, anda dikehendaki memberi notis kepada institusi kewangan anda. Tempoh notis biasanya adalah di antara 1 hingga 3 bulan.

Adakah saya memerlukan penjamin?

Ini bergantung kepada budi bicara institusi kewangan dan kedudukan kredit peminjam.

Adakah institusi kewangan berhak untuk mengenakan caj pelbagai ke atas akaun pinjaman saya seperti caj bayaran lewat, kos guaman, insurans dan sebagainya?

Hak institusi kewangan untuk mengenakan caj tersebut adalah seperti yang dinyatakan di dalam terma dan syarat-syarat pinjaman.

Berapa lamakah tempoh tangguh (grace period) untuk membayar ansuran/faedah?

Pada amnya, institusi kewangan membenarkan tempoh tangguh di antara 7-14 hari untuk anda membayar ansuran. Bayaran yang diterima selepas tempoh tangguh tersebut akan dikenakan denda lewat.

Bilakah institusi kewangan melepaskan pinjaman kepada pemaju?

Untuk rumah yang dalam pembinaan, institusi kewangan akan membuat bayaran progresif apabila siap setiap peringkat pembinaan seperti yang diakui oleh Sijil Perakuan Arkitek. Untuk rumah yang telah siap, pinjaman anda akan dilepaskan apabila lengkap proses dokumentasi atau kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan diperolehi, seperti kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

Bolehkah saya membeli rumah secara bersama tetapi pinjaman perumahan dipohon atas satu nama sahaja?

Institusi kewangan akan mempertimbangkan permohonan anda berdasarkan merit setiap permohonan, dalam keadaan berikut:

Pemilik bersama adalah pasangan suami isteri, dan salah seorang daripada mereka tidak bekerja dan yang seorang lagi bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pinjaman
 
Pemilik bersama mempunyai hubungan kekeluargaan seperti antara anak dengan ayah/ibu, dan kedua ibu bapa tidak bekerja dan si anak yang bertanggungjawab ke atas pinjaman tersebut

Walau bagaimanapun, peraturan di atas adalah terpulang kepada budi bicara institusi kewangan dan mereka boleh juga mempertimbangkan keadaan lain yang tidak disebutkan di atas.

Jika pemaju menjadikan projeknya terbengkalai, adakah saya masih perlu membayar faedah dan bayaran ansuran?

Ya. Anda masih bertanggungjawab membayar balik pinjaman berdasarkan kepada perjanjian pinjaman yang ditandatangani antara anda dan institusi kewangan. Walau bagaimanapun, memandangkan institusi kewangan mempunyai hak ke atas harta tersebut, anda perlu membincangkan cadangan pembayaran balik dengan institusi kewangan. Anda juga patut melaporkan hal ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Apakah akan berlaku bila pinjaman telah dijelaskan sepenuhnya?

Bila pinjaman telah dijelaskan sepenuhnya, institusi kewangan, melalui peguamcaranya, akan melepaskan cagaran ke atas harta tersebut. Institusi kewangan juga akan menarik balik sebarang tuntutan ke atas harta berkenaan. Dengan ini, hakmilik akan dipindahkan kepada anda.

Apakah akan berlaku sekiranya peminjam yang tidak membeli insurans meninggal dunia?

Ahli keluarga terdekat si mati boleh membuat tuntutan melalui mahkamah ke atas harta si mati. Beliau boleh membuat pilihan sama ada meneruskan pembayaran balik pinjaman atau menebusnya kembali. Walau bagaimanapun, kebanyakan institusi kewangan mewajibkan peminjam membeli perlindungan Insurans Nyawa Gadai Janji (MRTA) untuk memastikan keadaan seperti ini tidak berlaku.

Apakah tindakan yang boleh diambil oleh institusi kewangan jika saya gagal membuat pembayaran balik?

Kalau anda gagal membuat pembayaran balik sebanyak 3 kali berturut-turut, institusi kewangan akan mengambil langkah sewajarnya untuk membatalkan pinjaman tersebut. Berdasarkan keadaan paling buruk, institusi kewangan akan merampas harta berkenaan untuk dilelong bagi membayar balik pinjaman. Sekiranya masih tidak mencukupi, peminjam masih perlu membayar perbezaan di antara harga lelong dan baki pinjaman tersebut.

Apakah cara paling mudah untuk membuat pembayaran ke atas pinjaman saya?

Institusi kewangan menawarkan rangkaian perkhidmatan yang pelbagai untuk menjadikan urusan anda lebih mudah. Di antara kaedah alternatif untuk membuat pembayaran balik pinjaman ialah:

Membuka akaun tabungan/semasa dan mengeluarkan arahan pindahan tetap pada kadar fi yang minimum (dikecualikan jika anda menyimpan deposit dan membuat pinjaman juga di institusi yang sama)

  •   Melalui pemindahan ATM   
  • Perbankan Internet   
  • Khidmat Perbankan Telefon
  • Mendeposit cek di mesin automatik atau menghantar cek anda terus kepada institusi kewangan

Adakah wajar saya mempertimbangkan untuk membiayai semula pinjaman jika saya ditawarkan kadar faedah yang lebih rendah?

Pertimbangan utama yang diberikan dalam pembiayaan semula ialah apakah kos yang terlibat. Seperti yang anda sedia maklum, anda telah membelanjakan jumlah yang besar untuk pinjaman pertama anda. Sebagai contoh, anda perlu membayar yuran pemprosesan, yuran guaman, fi setem dan yuran pemindahan hakmilik. Pembiayaan semula bermakna anda perlu mengulangi pembayaran caj-caj yang sama sekali lagi. Sebelum anda bercadang untuk membiayai semula, anda perlu memastikan bahawa penjimatan kadar faedah rendah adalah mencukupi untuk mengatasi keseluruhan kos yang berkaitan dengan pembiayaan semula, termasuk caj penalti, jika ada.

sumber : http://www.bankinginfo.com.my/

Tips dalam Mendapatkan Pinjaman Perumahan

Membeli rumah mungkin pelaburan paling berharga yang dibeli. Oleh itu, pertimbangan dan perancangan kewangan yang rapi dan teliti adalah perlu sebelum mengambil langkah seterusnya. Jika memilik sebuah rumah ialah sebahagian daripada matlamat kewangan anda, anda perlu mengetahui apa yang mampu miliki berdasarkan simpanan dan pendapatan anda.


Tip dalam Mendapatkan Pinjaman Perumahan
Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat tentang pinjaman perumahan. Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut daripada institusi perbankan atau sumber lain seperti akhbar, majalah dan Internet. Sekiranya terdapat maklumat yang kurang jelas, dapatkan penerangan daripada institusi perbankan anda Bandingkan jenis pinjaman yang ditawarkan setiap institusi perbankan bagi memastikan pilihan anda bersesuaian dengan keperluan kewangan anda.

Anda harus memberi lebih perhatian kepada perkara-perkara berikut:
 
Kadar
 
 Ketahui kadar dan tempoh tawaran. Teliti tawaran yang diberikan secara menyeluruh, dan jangan hanya tertarik dengan kadar faedah permulaan. Kadang-kala, kadar faedah yang dikenakan akan meningkat di masa depan walaupun kadar faedah permulaan rendah.

Pastikan sama ada kadar tersebut adalah kadar sama rata atau kadar berubah. Bagi kadar berubah, faedah yang dikenakan akan bergerak selari dengan perubahan pada kadar berian pinjaman asas. Oleh itu, kenal pasti sama ada anda mampu untuk membayar balik pinjaman walaupun kadar faedah yang dikenakan meningkat atau menurun. Anda juga dinasihatkan untuk mengenal pasti sama ada anda boleh membayar balik pinjaman dengan satu jumlah ansuran tetap. Walau bagaimanapun, tempoh pinjaman anda boleh menjadi semakin panjang atau pendek berdasarkan pergerakan kadar faedah.

Pastikan anda mempunyai dokumen berikut sebelum memohon pinjaman perumahan.

  • Sesalinan kad pengenalan atau pasport anda
  • Slip gaji untuk 3 bulan yang terkini
  • Penyata cukai pendapatan (borang J) yang terkini atau borang EA
  • Dokumen perjanjian jual beli/resit pembayaran deposit atau tempahan/ surat tawaran daripada pemaju
  • Sesalinan surat hakmilik tanah (jika ada)
  • Penyata bank 6 bulan terdahulu (wajib jika tiada slip gaji/borang J/EA)/buku akaun simpanan/resit simpanan tetap
  • Laporan penilaian harta (untuk rumah sudah siap)


 Jika anda bekerja sendiri, anda juga perlu melampirkan
  • Dokumen pendaftaran perniagaan,
  • Penyata bank untuk 3 bulan terakhir
  • Penyata kewangan terkini dan dokumen lain yang boleh menyokong sumber pendapatan anda.
  • Lain-lain dokumen sokongan tambahan.

 
Apakah Yang akan Berlaku Seterusnya   
 Selepas bersetuju untuk menerima surat tawaran pinjaman, anda perlu melantik seorang peguam yang merupakan panel peguam institusi perbankan untuk menyiapkan dokumentasi pinjaman. Sebahagian daripada dokumen ini akan dikemukakan kepada jabatan Kerajaan berkenaan untuk pendaftaran dan kepada Pejabat Setem untuk pembatalan setem.

Setelah proses tersebut selesai, dokumen-dokumen ini akan dihantar kepada institusi perbankan dan anda akan menerima salinan Perjanjian Pinjaman.
 
Berdasarkan pakej pinjaman yang anda pilih, pembayaran balik ansuran bulanan pinjaman anda akan dikenakan faedah, sama ada secara harian atau bulanan. Jumlah wang pokok akan berkurangan serta-merta setiap kali bayaran ansuran pinjaman dibuat.

Walaubagaimanapun, anda boleh berbincang dengan institusi perbankan tentang cara-cara yang boleh membuatkan bayaran balik pinjaman anda menjadi lebih fleksibel, seperti:

Skim bayaran berperingkat

Kaedah ini akan memberi peluang kepada pembeli rumah untuk mengurangkan beban pembayaran di peringkat awal supaya lebih banyak wang dapat digunakan untuk tujuan lain. Apabila pendapatan pembeli meningkat, kemampuan kewangan peminjam akan turut meningkat, sekali gus menjadikan ia mampu membuat pembayaran balik pada tahap yang lebih tinggi. Skim ini berguna jika anda merancang untuk menggunakan wang bagi tujuan lain terlebih dahulu.
 
Opsyen membuat pembayaran awal

Ada institusi perbankan yang menawarkan fleksibiliti membuat pembayaran balik
atau pembayaran balik tambahan dengan faedah dikenakan secara harian. Ini dapat menjimatkan caj faedah dengan syarat anda membuat bayaran bulanan secara teratur.
 
Pembayaran awal pinjaman
 Ramai peminjam berasa ada baiknya memendekkan tempoh pinjaman dengan membuat pembayaran awal sebahagian daripada baki pinjaman melalui lebihan wang tabungan atau bonus tahunan. Ini dapat mengurangkan caj faedah sekiranya pembayaran balik dibuat semasa tahun-tahun awal pinjaman. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi perbankan mungkin mengehadkan jumlah yang boleh dibuat untuk pembayaran awal.
  
 Penalti Penyelesaian Awal
Institusi perbankan mungkin mengenakan penalti apabila pinjaman diselesaikan sepenuhnya lebih awal kerana perkara tersebut akan mengganggu perancangan aliran tunai institusi perbankan. Penalti yang dikenakan adalah sama ada berasaskan kadar sama rata atau faedah untuk 'x' bulan (contohnya, 1 bulan faedah)

  Pembayaran Awal Wang Pinjaman
 Jika anda mempunyai lebihan wang, anda mungkin mahu membayar baki pinjaman lebih awal daripada yang dijadualkan. Anda perlu memaklumkan kepada institusi perbankan terlebih dahulu untuk membuat pembayaran balik sebahagian daripada pinjaman. Institusi perbankan juga mungkin menghadkan jumlah pembayaran awal yang boleh dibuat Pastikan sama ada pakej pinjaman anda membenarkan pembayaran awal sebahagian daripada pinjaman dan apakah prosedurnya.   
 
Hak anda sebagai peminjam
  • Hak untuk mendapat akses kepada segala maklumat yang boleh mempengaruhi keputusan untuk membuat pinjaman  
  • Hak untuk dilayan secara profesional, bersopan dan tanpa prasangka    
  • Hak untuk berunding terhadap perubahan pada syarat-syarat dan terma pinjaman
  • Hak untuk mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai akaun pinjamannya   
  • Hak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran perjanjian  


Tanggungjawab anda sebagai peminjam

  • Bertanggungjawab untuk memahami keseluruhan terma dan syarat pinjaman    
  • Bertanggungjawab untuk sentiasa mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan  
  • Bertanggungjawab untuk membayar fi, caj, faedah dan bayaran ansuran mengikut jadual  

 Hak institusi perbankan

  • Hak untuk mendapat maklumat lengkap mengenai kedudukan kredit peminjam    
  • Hak untuk mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai peminjam   
  • Hak untuk menerima pembayaran balik faedah/ansuran bulanan ke atas pinjaman mengikut jadual    
  • Hak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku keingkaran/pelanggaran perjanjian  

 
Tanggungjawab institusi perbankan

  • Bertanggungjawab untuk melaksanakan segala yang perlu bagi pihak peminjam seperti yang dinyatakan di dalam perjanjian pinjaman
  • Bertanggungjawab untuk berunding dengan peminjam sebelum membuat sebarang perubahan terhadap terma dan syarat, fi dan maklumat lain yang berkaitan  
  • Bertanggungjawab untuk menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan oleh peminjam
sumber : http://www.bankinginfo.com.my/

Sebelum Membeli Kereta ada 9 Pekara Yang Perlu Anda Tahu



Pinjaman kenderaan adalah sama seperti pinjaman lain yang selalunya berbeza diantara setiap bak. Sedikit usaha dan fikiran akan membantu anda mendapatkan pembiayaan terbaik.

1. Baru Vs Terpakai

Secara logiknya, bank akan menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi pinjaman kenderaan terpakai berbanding kenderaan baru. Kenderaan terpakai memiliki nilai jualan semula lebih rendah dan adalah amat sukar untuk meramal nilai pasaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Ada beberapa bank menetapkan had umur kenderaan (sehingga 12 tahun) bagi anda yang bercadang untuk memiliki kenderaan terpakai.

2. Nasional Vs Bukan Nasional

Bank meletakkan kadar faedah lebih rendah bagi kenderaan bukan nasional seperti Ford dan Kia berbanding kenderaan nasional seperti Proton. Walaubagaimanapun, perbezaan adalah amat kecil, maka ini bukanlah perkara yang perlu diberi perhatian utama.

3. Tempoh Pinjaman Pendek Vs Panjang

Bank menetapkan kadar faedah yang lebih rendah bagi pinjaman berjangka panjang. Secara ideal, pinjaman jangka pendek adalah lebih baik jika bayaran ansuran memenuhi kedudukan kewangan anda.

4. Dapatkan Pra Kelulusan Pinjaman

Mendapatkan pra kelulusan bagi pinjaman adalah penting untuk mengetahui tahap kemampuan anda. Lawat beberapa bank untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti kadar faedah dan jumlah pembiayaan berdasarkan kedudukan kredit anda.

5. Margin Pembiayaan

Bank akan menawarkan kadar faedah yang lebih rendah bagi margin pinjaman yang rendah. Sekiranya anda mampu membayar wang pendahuluan yang lebih besar, and akan dapat berjimat dari bayaran faedah.

6. Pengedar Vs Bank

Adalah perkara biasa bagi semua urusan pinjaman dilakukan oleh pihak pengedar . Ianya memang memudahkan, akan tetapi mungkin ada caj tersembunyi yang akan tidak memihak kepada anda. Selalu membuat penyelidikan dan perbandingan terhadap pengedar yang memberi nilai terbaik.

7. Fikir Sebelum membuat penyelesaian awal pinjaman

Sekiranya anda memiliki wang tunai, menyelesaikan pinjaman akan menjadi keutamaan. Akan tetapi, terdapat senario dimana anda akan mendapat lebih nilai apabila meletakkan kedalam pelaburan (Dana Tetap) . Baca lebih lanjut tentang penyelesaian awal untuk mengetahui sama ada anda perlu menyelesaikan pinjaman awal.

8. Islamik Vs Konvensional

Terdapat beberapa perbezaan diantara Pembiayaan Islamik dan Pinjaman Konvensional. Untuk memahami dengan lebih lanjut, baca artikel Pembiayaan Konvensional Vs Islamik dan tentukan jenis pinjaman yang akan diambil.

9. Kadar Faedah Tetap Vs Berubah

Bank menawarkan dua jenis faedah bagi pinjaman kenderaan, Tetap ataupun berubah. Dalam keadaan tertentu, kadar tetap lebih menarik disebabkan penawaran pasaran dan ansuran bulanan yang stabil. Terdapat beberapa skim yang akan berfaedah buat anda


Kesimpulan
Adalah penting untuk menganalisa portfolio kewangan anda sebelum mengambil pinjaman. Memilih pinjaman yang betul akan menjimatkan wang anda secara signigfikan. Bantulah diri anda dan jangan lupakan penyelidikan

sumber : http://loanstreet.com.my/

4 Pilihan untuk Pinjaman Peribadi

♠ Posted by Loan Planner in ,,,

Adalah perkara biasa bagi individu yang mencari pakej pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh pihak bank apabila pinjaman tunai menjadi keutamaan. Walaupun ia kelihatan sebagai pilihan yang sesuai , anda perlu tahu terdapat beberapa langkah lain yang boleh digunakan.

1. Kad Kredit

Kad Kredit adalah salah satu cara yang paling biasa digunakan dalam kemudahan kredit. Selain menggunakan kad di rangkaian runci, anda juga boleh menggunakan ia untuk mendapatkan tunai. Akan tetapi , jumlah yang boleh digunakan untuk pinjaman adalah berdasarkan had kredit. Cuma perlu hubungi pihak bank anda untuk menggunakan fasiliti ini.

Kelebihan:


  • Fleksibiliti
  • Permohonan yang mudah
  • Penggunaan yang mudah (Penggunaan luar negara)


Kekurangan


  • Kadar faedah yang tinggi (13 –18%)
  • Yuran tahunan
  • Kad kredit juga menawarkan pelbagai jenis ganjaran dan kelebihan. Anda boleh mengetahui kad kredit yang menepati kehendak anda didalam artikel ini.


2.Kemudahan Overdraf

Overdraf adalah kemudahan yang membenarkan anda mengeluarkan wang didalam akaun semasa lebih daripada jumlah baki sebenar. Biasanya termaktub kepada had kredit.

Kelebihan


  • Fleksibiliti
  • Tiada bayaran yang tetap
  • Faedah hanya dikenakan kepada amaun yang digunakan


Kekurangan


  • Kadar faedah yang tinggi
  • Mungkin akan memberi kesan kepada DSR walaupun tidak digunakan
  • Bank boleh merubah fasiliti OD atau menukar had kredit pada bila-bila masa.
  • Walaubagaimanpun, berikutan peraturan baru Bank Negara , yuran komitmen sebanyak 1% akan dikenakan bagi amaun yang tidak dimanfaatkan. Sekiranya anda memiliki had overdraf yang tinggi, pastikan anda mengetahui perkara ini.
  • Ketahui maklumat lanjut tentang overdraf


3. Pembiayaan Semula Tunai

Pembiayaan semula Tunai adalah secara mudahnya adalah mengambil ekuiti daripada rumah anda. Maklumat lanjut tentang boleh diperolehi disini.

Kelebihan


  • Kadar faedah yang rendah dan berkurang berdasarkan masa.
  • Jumlah tunai yang besar


Kekurangan


  • Cagaran diperlukan
  • Dana disediakan dalam tempoh yang lama
  • Yuran perundangan lebih tinggi.
  • Disini disediakan beberapa tips untuk pembiayaan semula. Pastikan juga anda mengetahui polisi had 10 tahun pembiayaan semula


4. Peminjam Wang Berlesen

Ya, kami pasti pilihan ini akan membuatkan anda terkejut. Adalah penting untuk mengetahui bahawa selain dari bank, anda juga meperolehi wang tunai dari peminjam wang berlesen di Malaysia. Beberapa nama dalam industri ini adalah GSMaju, Kim Seng Heng Enterprise, F.K Capital dan lain lain lagi. Mereka tertakluk kepada undang-undang dibawah kementerian perumahan dan kerajaan tempatan dan akta peminjam wang 1951. Sekiranya anda gagal memperolehi pinjaman daripada bank, anda boleh mencuba peluang anda disini.

Kelebihan


  • Pakej pinjaman boleh disesuaikan
  • Dana disalurkan dengan cepat
  • Kemudahan pinjaman dan kelulusan


Kekurangan


  • Kadar faedah yang tinggi
  • Tidak beroperasi secara konvensional.


Kesimpulan

Bagi setiap pilihan, terdapat kelebihan dan kekurangan. Adalah penting untuk anda memilih produk yang tepat. Sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan pinjaman dari bank di Malaysia, gunakan perbandingan untuk menentukan pakej terbaik. Tambahan, artikel mendapatkan pinjaman peribadi di Malaysia dapat memberi anda kefahaman terhadap pinjaman peribadi. Baca dan buat keputusan yang terbaik.

sumber: http://loanstreet.com.my